Morocco: Mengejar Mimpi Mustahil.

(Kesebelasan Utama Morocco dalam perlawanan menentang Portugal di suku akhir Piala Dunia 2022/ ANP Getty Image)

Sebelum bermulanya saingan Piala Dunia 2022 Qatar, Morocco cuma pernah menang 2 kali sahaja dari 16 perlawanan Piala Dunia. Dengan jurulatih yang baru 4 bulan dilantik,  tiada yang meletakkan harapan tinggi kepada pasukan ini.

Jadi, bagaimanakah Morocco mencipta kejutan demi kejutan dalam saingan Piala Dunia kali ini; menewaskan pasukan-pasukan ternama termasuk Belgium, Sepanyol, dan Portugal, serta mampu menyekat satu lagi pasukan semi-finalis, Croatia?

PERTUKARAN JURULATIH BARU
Sebelum ini, Morocco dibimbing oleh Vahid Halilhodzic, jurulatih yang berasal dari Bosnia. Dia mengemudi Morocco sepanjang kelayakkan Piala Dunia Zon Afrika. Tetapi segalanya nampak berakhir buat Halilhodzic selepas keengganan Halilhodzic untuk menyenaraikan nama Hakim Ziyech dalam skuad kebangsaan Morocco. Ini membuatkan Persatuan Bola Sepak Morocco memecatkan Halilhodzic kerana beranggapan Halilhodzic tidak mempunyai visi yang jelas kerana bagi Persatuan Bola Sepak Morocco, Hakim Ziyech adalah pemain terbaik yang mereka pernah ada, tetapi tak tersenarai dalam pasukan kebangsaan. Walid Regragui dibawa masuk untuk menjadi jurulatih Morocco yang baru. Walid yang merupakan bekas pemain kebangsaan Morocco, baru sahaja membawa Wydad Casablanca, kelab bola sepak dari Morocco, merangkul kejuaraan Piala Juara-Juara Afrika buat kali ketiga. Tanpa Walid sedar, dia sebenarnya akan mewarisi barisan pemain-pemain terbaik yang Morocco pernah ada.

RAMAI PEMAIN BERKUALITI, BERTEKNIKAL TINGGI.
Pemain-pemain Morocco ramai yang berkelana ke liga-liga utama Eropah. Dua pemain pertahanan sayap, Achraf Hakimi dan Noussair Mazraoui  merupakan pemain utama untuk pasukan seperti PSG dan Bayern Munich, Hakim Ziyech pula bermain untuk Chelsea, penjaga gol mereka Bounou dan penyerang, Youssef En-Nesyri bermain untuk Sevilla di La Liga, Sofyan Amrabat merupakan pemain tengah bertahan untuk Fiorentina di Itali, pemain pertahanan tengah Nayef Aguerd bermain untuk West Ham di EPL, sementara kapten mereka Romain Saiss baru baru ni bermain untuk Wolverhampton (EPL).

Walid jelas yang dia perlu buat dua benda saja sekarang; pastikan pemain-pemain ini mampu berfungsi baik dalam sistem permainan yang boleh meraih keputusan bagus dalam Piala Dunia kali ini, dan meyakinkan kumpulan pemain ini yang mereka mampu "mengejutkan dunia". Walid berkata kepada pemain Morocco, "kamu semua datang ke sini bukan nak bermain 3 perlawanan saja." Mahakarya yang Walid impikan nampaknya bermula.

TAKTIKAL: KENTAL BERTAHAN, SERANGAN BALAS PANTAS DAN KETEPATAN HANTARAN.
Walid Regragui menetapkan formasi 4-1-4-1 sebagai formasi asas Morocco; pemain pertahanan akan bertahan dalam blok rendah, dengan pemain tengah bertahan mereka Amrabat akan berada betul-betul di atas garisan pertahanan, dan tak akan berganjak ke depan. Bila berhadapn dengan pasukan yang lebih baik (dalam Piala Dunia kali ini), 4 pemain tengah mereka akan turun lebih ke bawah, menjadi satu garis pertahanan, meninggalkan penyerang tunggal mereka di atas dalam formasi 4-5-1.

Sebaik sahaja Morocco merampas balik penguasaan bola, mereka akan melancarkan serangan balas pantas; melalui 2 pemain sayap menyerang dan 2 pemain sayap bertahan mereka. En-Nesyri, pemain penyerang Morocco, yang biasanya berkeseorangan di atas akan mendapati dia tiba-tiba ditemani 5 atau 6 orang rakan sepasukannya dalam sekelip mata. Namun taktikal ini memerlukan disiplin yang sangat tinggi dan tahap konsentrasi yang mencabar. Walid Regragui berkata, "Strategi kami jelas. Semua orang kena kerja keras. Tanpa duit yang banyak dan bakat yang melimpah, kami akan buktikan kepada dunia yang kami juga mampu mencabar".

Mampukah Morocco meneruskan siri kejutan mereka hingga ke pentas final? Adakah Perancis bakal menjadi mangsa yang seterusnya? Menarik untuk kita semua saksikan. Morocco masih melangkah menuju mimpi mustahil mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEORI TAKTIKAL: Memecah Blok Defensif 4-5-1

Preview Taktikal: (Perancis vs Maghribi). Pertembungan Dua Pasukan Yang Memanipulasi Transisi.

Concussion @ Gegaran Otak: Pengalaman Peribadi dan Aplikasi Pemulihan dalam Sukan