Preview Taktikal: (Perancis vs Maghribi). Pertembungan Dua Pasukan Yang Memanipulasi Transisi.
(Mbappe & Pasukan Maghribi. Google Image.)
Dalam ramai yang mengatakan bahawa Mbappe yang akan menjadi ancaman besar kepada pasukan lawan, pasukan Perancis sebenarnya tidaklah terlalu bergantung kepada dia sahaja. Terbukti ketika perlawanan menentang England tempoh hari di saingan suku akhir, Mbappe dikawal ketat oleh Kyle Walker dan tidak dapat terlalu mempengaruhi permainan, tetapi Perancis tetap mampu menjaringkan gol dan memenangin perlawanan.
PELAN TAKTIKAL PERANCIS.
Taktikal Perancis sebenarnya sangat berpaksi kepada penggunaan bek sayap mereka, Jules Kounde dan Theo Hernandez yang selalunya akan berada di garisan tinggi untuk membantu menjana serangan ketika Perancis menguasai bola. Pentingnya overlapping dua bek sayap ini adalah untuk membolehkan Mbappe dan Dembele melepaskan diri dari kawalan pertahanan lawan dan dalam masa yang sama boleh menjadi sumber bola hantaran lintang untuk mencari sama ada Giroud atau Griezmann dia dalam kotak penalti.
Walaupun dalam formasi 4-3-3 yang hanya membolehkan seorang penyerang sahaja untuk berada di atas, Perancis tweak sikit pendekatan mereka dengan meletakkan Griezmann, yang juga sebenarnya seorang penyerang, tetapi berada di belakang penyerang utama, Giroud, untuk bermain sebagai Number 10. Jadi, Perancis secara teknikalnya bermain dengan dua penyerang cuma secara formasinya tidak kelihatan begitu.
Apabila hilang penguasaan bola, Perancis akan cuba memenuhkan segala ruang yang ada di atas padang. Pemain offensif akan cuba membentuk barisan kompak di depan garisan pertahanan lawan untuk menghalang build up dari bawah. Perancis bukanlah pasukan yang menekan lawan dalam garisan tinggi, tetapi pasukan lawan tetap sukar membina permainan dari bawah dengan pendekatan ini.
Pemain tengah dan pertahanan Perancis akan kekal compact dan kekal dalam struktur 4-4-2 bila tidak menguasai bola. Membentuk 2 banks of 4, membiarkan Mbappe dan Giroud di atas, bersedia jika berlaku serangan balas. Pemain-pemain tengah (termasuk Griezmann dan Dembele) akan keluar dari posisi untuk menekan pemain lawan yang sedang memegang bola dan akan kembali ke posisi asal jika bola dihantar balik ke belakang atau dihantar ke arah kawasan padang yang lain (zonal defending).
Sementara itu, pemain pertahanan pula akan bergerak mengikut arah ke mana kawasan bola sedang dimainkan. Objektif mereka adalah untuk memberi sokongan kepasa pemain tengah yang meninggalkan posisi apabila menekan pemain lawan yang sedang mengawal bola. Pendekatan ini menyukarkan pasukan lawan untuk outnumbering mereka walau dimana mana kawasan padang. Sebab itulah, agak sukar untuk menembusi pertahanan pasukan Perancis.
Cuma ada satu saja masalah dengan pendekatan pertahanan yang digunakan oleh Perancis ini. Jika barisan hadapan mereka gagal menghalang build up pasukan lawan dari kawasan tengah, cuma ada Rabiot dan Tchouameni sahaja yang berada di tengah dan selalunya mereka berdua mudah untuk dilepasi terutamanya ketika pasukan lawan sedang menyerang balas.
Jika Perancis ingin mengelak dari dikejutkan oleh Maghribi malam ini, maka mereka perlu memikirkan bagaimana untuk melindungi kawasan tengah mereka, yang kelihatan agak rapuh jika lawan mula menyerang dari bahagian tersebut.
PELAN TAKTIKAL MAGHRIBI
Pemain-pemain Maghribi rata ratanya memiliki kemahiran yang tinggi dan kebolehan kawalan bola yang sangat bagus. Oleh kerana itu, mereka berupaya untuk menggerakkan bola ke serata arah di atas padang dengan tenang dan kemas, walaupun diasak keras oleh pasukan lawan.
Sebagai sebuah pasukan yang sinonim dengan taktik bertahan dan kemudian membuat serangan balas, Maghribi agak unik dengan cara mereka menyerang balas selepas memperolehi penguasaan bola. Kebanyakkan pasukan lain yang ingin menyerang balas, mereka akan menggerakkan bola sepantas yang boleh ke arah pintu gol lawan. Tetapi tidak Maghribi.
Pemain-pemain Maghribi akan mengambil masa untuk menghantar bola ke arah kawasan yang mereka fikirkan boleh dieksploit untuk mencipta peluang gol. Mereka tidak terburu-buru untuk masuk ke ruang terhad yang sempit, sebaliknya mereka akan menggerakkan bola dengan pantas melalui larian-larian pemain tengah mereka untuk membuka ruang yang mereka boleh manipulasi kemudiannya.
Berhadapan dengan pasukan Perancis, mungkin akan memberi sedikit kelebihan kepada Maghribi kerana taktikk Perancis yang jarang melakukan high pressing ke atas lawan mereka, sebaliknya akan membiarkan pasukan lawan mengawal bola dan akan cuba memenangi bola di middle block atau di low block.
Garisan pertahanan Maghribi selalunya berada agak tinggi dari kawasan gol mereka sendiri. Taktikal yang agak berani, tetapi sebenarnya sangat berisiko tinggi, lagi-lagi bila berhadapan dengan pasukan yang mempunyai pemain berkelajuan tinggi dan sangat klinikal dalam penyudah seperti Perancis.
Taktikal bertahan dengan garisan pertahanan tinggi dan kompak bertahan sebagai satu unit, bermula dari pemain penyerang yang yang sentiasa melakukan tekanan ke arah arah, pertahanan Maghribi boleh dikatakan pertahanan yang terbaik dan paling sukar untuk ditembusi buat masa ini. Dari perlawanan peringkat kumpulan hingga ke suku akhir, Maghribi hanya bolos sekali sahaja (itu pun own goal pemain mereka sendiri.).
Maghribi selalunya akan bertahan dalam formasi 4-5-1 atau 4-1-3-2 apabila pasukan lawan memiliki bola. Serangan balas atau janaan serangan mereka selalunya bergantung kepada intensiti larian dan kelajuan transisi bola dari kawasan pertahanan mereka ke bahagian tengah.
Jika dalam keadaan menyerang balas, bola akan dialirkan terus ke pemain sayap atau penyerang. Pemain sayap atau penyerang akan melalukan hold up play sambil menunggu offball run dari pemain tengah atau overlapping pemain bek sayap. Dalam keadaan menguasai bola pula, Maghribi akan membina serangan dengan formasi binaan 2-3 (2 centre back + 3 midfield) dengan pemain-pemain bek sayap atau serangan sayap akan membuat larian tanpa bola untuk menerima bola dari hantaran jauh atau membawa bola terus dari garisan tepi dan cuba untuk cut inside ke kawasan penalti lawan. Sekiranya akses terus ke kawasan penalti lawan sudah ditutup, hantaran lintang akan dilakukan.
KONKLUSI
Di atas kertas, nampak seperti Perancis lah yang akan jadi pemenang. Sentimen ini dikuatkan lagi dengan kecederaan pemain-pemain utama Maghribi, sementara itu tiada senarai kecederaan terlihat di pihak Perancis. Walau apapun, Piala Dunia kali ini penuh dengan kejutan. Adakah akan berlaku lagi kejutan malam ini?
Ulasan
Catat Ulasan