Maghribi; Pasukan yang memberikan segalanya, sepenuhnya.
(Pemain Maghribi selepas perlawanan Separuh Akhir Piala Dunia 2022 menentang Perancis: Google Image.)
“Segalanya mungkin dalam bola sepak. Anda perlu bermimpi untuk merealisasikannya. Jika anda memberitahu seorang kanak-kanak bahawa dia tidak boleh, maka dia tidak akan berjaya. Kami, orang Afrika, tidak pernah memenangi Piala Dunia, jadi mengapa tidak mengimpikannya dan memenanginya?”
Demikian kata pengurus Maghribi Walid Regragui sebelum pasukannya menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan penalti dalam pusingan 16.
Ia adalah mesej yang dibawa oleh Maghribi melalui kemenangan suku akhir ke atas Portugal — “Kami tidak akan memberi alasan” — ketika diminta mengulas mengenai kekalahan separuh akhir mereka kepada Perancis. Kekalahan 2-0 mungkin terdengar seperti kekalahan total, tetapi sebenarnya Maghribi — pemain, jurulatih dan peminat mereka — memberikan segalanya. Diganggu oleh kecederaan, perubahan senarai pemain dan formasi serta kehilangan kapten mereka Romain Saiss dari minit ke 21, Maghribi terus bertahan.Malang bagi Maghribi, Theo Hernandez meletakkan juara bertahan itu di hadapan pada minit kelima tetapi Maghribi mengancam juara bertahan itu lebih daripada satu kali, terutamanya apabila menyerang bahagian kiri Perancis. Randal Kolo Muani menjaringkan gol ketiga terpantas untuk pemain gantian dalam sejarah Piala Dunia, hanya 44 saat selepas masuk, namun segala-galanya yang berlaku di atas padang boleh disimbolisasikan melalui terjahan Sofyan Amrabat pada separuh masa kedua ke atas Kylian Mbappe. Ia adalah satu terjahan yang maha keras, tetapi menakjubkan.
Di tempat duduk penonton, sokongan peminat Maghribi tidak henti-henti. Dan di luar Stadium Al Bayt dan di Doha sendiri, keghairahan dan kebanggaan layak ke separuh akhir Piala Dunia, negara pertama dari Afrika, dapat dirasai.
Apabila senarai rasmi nama pemain pasukan diukumkan pada 8.46 malam waktu tempatan, Nayef Aguerd berada dalam kesebelasan utama Maghribi. Apabila versi kedua dikeluarkan pada 9.55 malam pula, hanya lima minit sebelum sepak mula, Achraf Dari telah disenaraikan sebagai ganti. Aguerd terlepas perlawanan suku akhir Portugal kerana kecederaan paha tetapi Regragui berkata pertahanan West Ham itu "sembuh daripada 'selesema". “Dia benar-benar mahu bermain,” tambah pengurus itu. "Dia pemain yang sangat penting untuk kami." Jawad El Yamiq dialihkan ke sebelah kiri dalam barisan bertiga pertahanan, dengan Saiss — satu lagi pemain yang sebenarnya 50/50 boleh bermain sebab cedera — akan berada di tengah pertahanan bertiga. “Saya fikir lebih baik bermain dengan tiga pemain untuk tidak memberikan mereka (Perancis) ruang untuk berlari,” kata Regragui. “Selain itu, kami mempunyai pertahanan yang baik, dan akan mencuba dan memaksa pemain sayap mereka (Ousmane) Dembele dan Mbappe kembali untuk bertahan.”
Ia adalah satu perjudian yang malangnya tidak membuahkan hasil. Saiss, dengan paha kirinya yang terikat, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-21 akibat terkena bola dari sepakan Olivier Giroud. Kapten Maghribi itu digantikan oleh Selim Amallah. “Kami bertukar ke back-four dan kami sebenarnya bermain lebih baik selepas itu,” kata Regragui. “Saya tidak menyesal.” Maghribi mempunyai penguasaan bola sebanyak 61.4 peratus dan mengasak di sebelah kiri Perancis dengan kerap, kerana mereka yakin bahawa Mbappe, yang berada di sisi kiri, tidak akan turun bertahan. Taktik yang sama seperti yang dilakukan England dalam kekalahan suku akhir mereka kepada Perancis.
Walaupun sudah betul dengan formasi dan pelan taktikalnya, tetapi kecederaan dan keletihan mula menghambat Maghribi. "Secara fizikal kami mempunyai terlalu ramai pemain yang berada pada tahap 60 atau 70 peratus," kata pengurus itu. Ziyech bermain dengan berikat pada pehanya. Pemain pertahanan kiri mereka, Noussair Mazraoui keluar pada separuh masa, dengan Yahia Attiat-Allah menggantikannya. Regragui telah cuba menguruskan masa permainan Sofiane Boufal dan Youssef En-Nesyri sepanjang kejohanan ini dan kedua-duanya keluar semula pada minit ke-66. Amrabat memerlukan suntikan tahan sakit untuk mengurangkan masalah di Piala Dunia dan menangis selepas perlawanan. Namun dia masih berjaya melaksanakan tugasnya dengan luar biasa sehingga awal permainan separuh masa
https://twitter.com/brfootball/status/1603121413572927488?s=20&t=CG6I9criu4rZ1X8kxobfsg
Antara moment yang paling diingati dalam perlawanan semalam adalah apabila Amrabat, berlari selaju yang dia mampu, sepenuh hati, untuk melakukan pintasan ke atas Mbappe sebelum melakukan terjahan. Amrabat yang hilang dari pandangan kamera dan kemudian tiba-tiba muncul semula di tepi kawasan penalti Maghribi untuk memenangi bola dari penyerang Paris Saint-Germain tersebut. Dia kemudian mendapatkan semula keseimbangannya, dan terus mencuba dan mengekalkan bola dalam permainan dan memulakan semula serangan Maghribi.
Azzedine Ounahi, yang merupakan antara pemain penting, turun sambil memegang buku lali dengan satu minit lagi masa permainan biasa akan tamat, tetapi bangkit semula dan terhincut-hincut untuk kembali semula ke posisinya. Kalaulah Abderrazak Hamdallah mampu melakukan rembatan atau membolosi gawang Perancis pada masa kecederaan, mungkin kita semua akan berbincang tentang sesuatu yang berbeza disini.
“Walaupun dengan semua kecederaan dan keletihan, kami masih mampu mencabar mereka (Perancis)dengan hebat,” kata Regragui. “Saya boleh katakan itu satu pencapaian yang sudah cukup hebat. “Tetapi anda tidak boleh memenangi Piala Dunia melalui keajaiban. Ianya adalah hasil kerja keras, dan itulah yang akan kami lakukan, terus bekerja keras.”
"Insha'Allah", perkataan trademark Regragui, seorang pengurus yang telah membawa dirinya dengan bermaruah. Dia tidak mengeluh apabila wartawan mengangkat tangan untuk mengucapkan terima kasih atas apa yang dicapai pasukannya, dan bukannya bertanya soalan. Dia diberi tepukan gemuruh apabila dia datang untuk memberi ucapan selepas Maghribi menewaskan Portugal, dan dipuji sekali lagi pada petang Rabu. Dia tidak cuba menggunakan senarai kecederaan yang semakin ramai di kem Maghribi sebagai alasan.
https://twitter.com/CoachesVoice/status/1603132809857716227?s=20&t=01pGk9fQxTv6FBbb29UhKA
“Ya, pemain letih dan mengalami kecederaan tetapi… saya tidak akan mengadu,” katanya sebelum perlawanan Portugal, sambil menambah selepas kemenangan pasukannya: “Setiap hari anda memenangi sesuatu dan kehilangan sesuatu atau seseorang. Kami mempunyai 26 pemain dalam skuad, dan jika anda mahu menang anda perlu percaya kepada semua orang.” Kepercayaan itu telah terbukti dalam kata-katanya dan persembahan pasukannya. “Jika ramai orang boleh diinspirasikan oleh cerita saya,” kata Regragui sebelum perlawanan Perancis, “jika anak-anak muda di kawasan kejiranan di Eropah atau Afrika boleh diinspirasikan, maka saya berbangga dengan itu. Tetapi misi saya ialah Piala Dunia. “Kami berada di sini bukan untuk main-main. Saya nak beritahu kamu, kami tidak letih. Kami akan berjuang sekeras mungkin esok untuk menulis semula buku sejarah untuk saudara-saudara kami di Afrika utara, di seluruh Afrika. "Ya, saya mungkin agak tidak realistik, saya seorang pemimpi... tetapi kami berada di sini kerana kami layak."
Penyerang Queens Park Rangers Ilias Chair tidak bermain seminit pun sambil ketawa berkata sebelum perlawanan Perancis: “Saya berada di separuh akhir Piala Dunia. Masa saya masih kecil, saya tidak akan pernah mengimpikan perkara seperti ini. “Duduk di bangku simpanan itu tidak bagus. Tetapi jika anda melihat apa yang telah kami cipta sebagai satu pasukan, saya bangga.”
Ulasan
Catat Ulasan